Saturday 3 March 2018

SINDIKET PERJUDIAN "BERMAIN WAYANG" DISEBALIK KEGIATAN SEBENAR

Ampang - 2/3/2018

Berselindung di sebalik lesen atau permit Pusat Hiburan Keluarga yang lazimnya untuk permainan kanak-kanak.

Itu taktik sindiket perjudian yang dikesan cuba menghidupkan kembali aktiviti mereka dengan ‘bermain wayang’ di sebalik operasi sebenar dijalankan.


Bagaimanapun, modus operandi itu terbongkar apabila Unit Pencegahan Perjudian (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah premis di D Pandan Avenue, Taman Pandan Mesra, Ampang, malam tadi, yang menjalankan kegiatan perjudian mesin simulator meja serta simulator kotak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya sudah menjalankan pemantauan dan risikan mengenai cubaan menghidupkan kembali aktiviti perjudian.

Dalam serbuan malam tadi itu pihak D7A Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20 hingga 30 tahun yang bertindak sebagai penjaga di premis berkenaan.

Lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, Vietnam serta Bangladesh dipercayai pemain mesin berkenaan turut ditahan.

Risikan mendapati pemilik premis didapati mempamerkan lesen PHK dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun sebaliknya mereka menjalankan kegiatan perjudian.


Rohaimi berkata, pihaknya turut mengenal pasti taktik sindiket berkenaan yang kini berusaha menjadikan kawasan komersial di Selangor khususnya untuk membuka semula premis mesin judi.

Tinjauan di premis itu mendapati, pemiliknya menampal poster menyatakan tiada wang tunai dibayar kepada pemenang mesin untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan polis.

Namun, hakikatnya berbeza apabila polis merampas sembilan cip tambah nilai serta 20 keping kad mata dan wang tunai RM454 dipercayai untuk pembayaran kepada pemenang mesin permainan itu.

No comments:

Post a Comment