Monday 5 February 2018

SERAH DIRI DI BALAI POLIS SELEPAS DIPERCAYAI MENIKAM TEMAN WANITA

Petaling Jaya - 5/2/2018

Seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Damansara sejurus dipercayai menikam teman wanitanya di parkir kenderaan di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian dilakukan suspek kira-kira jam 1.30 tengah hari.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, selepas menikam mangsa, suspek berusia 37 tahun ini telah menyerah diri di balai polis dengan membawa mayat teman wanitanya itu di dalam kereta jenis Honda City yang dipandu suspek.

"Suspek memberitahu telah membunuh teman wanitanya berusia 35 tahun.

"Pemeriksaan polis menemui mayat mangsa dengan kesan tikaman di leher yang masih berpakaian lengkap di tempat duduk penumpang bahagian hadapan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.


Mohd Zani berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang juga merupakan rakan sekerja suspek dibunuh menggunakan satu senjata tajam dan senjata tersebut telah ditemui di dalam kereta.

"Motif kejadian masih dalam siasatan namun kita percaya ia berkaitan dengan hubungan cinta mereka.

"Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan dapatkan perintah reman terhadap suspek esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment