Friday 9 February 2018

POLIS BANTUAN BERSAMA 28 PENJENAYAH LAIN DITAHAN DALANGI KES CULIK

Shah Alam - 8/2/2018

Polis menumpaskan kumpulan penculik yang didalangi polis bantuan dengan tertangkapnya seramai 29 individu termasuk lima wanita dalam serbuan berasingan sejak 3 Januari hingga 31 Januari lalu.

Serbuan dilakukan di sekitar Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan suspek berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pada 12 Disember tahun lalu, satu kes penculikan untuk tebusan melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai pengurus syarikat pengangkutan telah berlaku di Bandar Baru Sungai Buloh.

Mangsa bagaimanapun telah dibebaskan pada 3 Januari di Bemban, Melaka setelah wang berjumlah RM500,000 yang diminta suspek telah diperoleh


Susulan itu, siasatan hasil laporan polis yang dibuat, tiga lelaki berjaya dicekup pada 3 Januari dan soal siasat kemudian membawa penahanan 26 lagi suspek.

Mazlan berkata, dalam serbuan ini sejumlah RM124,400 wang tebusan telah berjaya dirampas semula dan dua buah akaun bank berjumlah RM14,000 telah dibekukan.


Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol palsu jenis revolver 3.8, 450 butir peluru hidup 9mm dan 40 butir peluru hidup winchester selain enam buah kenderaan jenis Proton Waja, Iswara, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Viva.


Dalam pada itu, siasatan mendedahkan kumpulan yang aktif sejak dua tahun lalu ini didalangi seorang polis bantuan berusia 42 tahun yang bekerja di sebuah kementerian di Putrajaya sejak 20 tahun lalu.

Tumpasnya kumpulan ini, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor berjaya menyelesaikan enam kes samun premis pengurup wang di Lembah Klang tahun 2017, satu kes bunuh di Kuala Lumpur dan kes melarikan orang di Pulau Indah pada 2017.


Kes disiasat mengikut Akta Culik 1961 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

No comments:

Post a Comment