Tuesday 24 April 2018

PENEMUAN MOTOSIKAL PETUNJUK BARU KES BUNUH WARGA PALESTIN

Kuala Lumpur - 24/4/2018

Polis menemui petunjuk baru kes bunuh warga Palestin, Dr Fadi M R AlBatsh yang mati ditembak sabtu lalu apabila sebuah motorsikal dipercayai digunakan suspek ditemui di sekitar Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan penemuan itu berkata, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut.


Beliau ditemui pada sidang media sempena Lawatan Kerja dan Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Peringkat Kontinjen Selangor di Shah Alam.

Difahamkan, motosikal itu ditemui berhampiran Tasik Danau Kota oleh orang awam, kira-kira pukul 1 tengah hari.


Dalam pada itu beliau berkata, polis turut memperoleh petunjuk lain kes berkenaan berikutan ada individu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Ditanya sama ada suspek masih berada dalam negara, beliau berkata pihaknya
tidak dapat mengesahkan mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai sama ada jenazah akan dihantar pulang ke negara asal, beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada pihak Kedutaan Palestin.

Polis Diraja Malaysia jelasnya bersedia membantu urusan penghantaran jenazah.

Allahyarham Dr Fadi yang juga Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh, kira-kira 6 pagi Sabtu.

Beliau ditembak dua suspek menunggang motorsikal berkuasa tinggi.


Polis telah mengedarkan lakaran wajah kedua-dua suspek dipercayai warga Eropah atau Asia Barat itu di semua pintu keluar masuk negara ini.

No comments:

Post a Comment